KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera (PBB) mencadangkan penubuhan Institut Pemikiran Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai menghargai jasa dan sumbangan pemimpin yang disegani ini kepada kemakmuran dan kemajuan negeri Sarawak.
Ketua Pergerakan Pemuda PBB Datuk Fadillah Yusof berkata cadangan tersebut telah dipersetujui dalam mesyuarat exco negeri semalam dan akan diusulkan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB bagi mendapatkan persetujuan serta sokongan.
“Pada mesyuarat petang tadi, kami sependapat dan ingin mengusulkan kepada MKT PBB tentang cadangan untuk menubuhkan Institut Pemikiran Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau kepada Sarawak.
“Penubuhan institut ini amat penting kerana Pehin Sri Taib mendokumentasikan pemikiran beliau untuk dijadikan sebagai bahan rujukan berguna kepada kita semua.
“Lebih utama, institut ini akan membolehkan kita mengadakan program kepimpinan bagaimana beliau (Taib) dapat mentransformasikan Sarawak kepada sebuah negeri yang dahulunya pada kedudukan ekonomi yang jauh ke belakang tetapi kini muncul sebagai antara negeri terkaya di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di sebuah hotel terkemuka di sini semalam selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Negeri Pergerakan Pemuda PBB.
Mengulas lebih lanjut mengenai cadangan penubuhan institut tersebut, Fadillah berkata ia akan diwujudkan di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan jika dipersetujui cadangan ini akan diusulkan kepada Kementerian Pendidikan.
Penubuhan institut ini katanya, amat penting kerana Taib bukan sahaja seorang pembuat polisi tetapi dapat menterjemahkan idea menjadi satu tindakan yang dapat kita lihat kejayaannya hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah bagi pihak Pergerakan Pemuda PBB menyatakan rasa hormat serta penghargaan kepada Taib yang telah meletakkan batu asas yang cukup kukuh untuk negeri ini sebelum meletak jawatan sebagai Ketua Menteri.
Pergerakan Pemuda PBB katanya, bukan sahaja menghormati hasrat Taib malah sepertimana mandat yang diberikan, mereka akan memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri baharu Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.
Malah katanya, Pergerakan Pemuda PBB juga sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian jika kerusi tersebut dikosongkan susulan peletakan jawatan Taib sebagai Ketua Menteri.
“Kami tidak hanya bekerja ketika pilihan raya, tetapi bekerja sepanjang masa dan jika pilihan raya diumumkan untuk DUN Balingian kami telah bersedia dan akan memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dan PBB khasnya.
“Malah sesiapa sahaja calon yang bakal diletakkan nanti ia akan disokong oleh kami dan kami yakin pucuk kepimpinan pasti akan memberi peluang kepada golongan muda untuk mengetengahkan keupayaan mereka,” katanya.
- Utusan Borneo