Quantcast
Channel: Pengajar 4.0
Viewing all 517 articles
Browse latest View live

3 Lelaki Termasuk Konstabel Polis Didakwa Rompak Pelajar Kolej

$
0
0

KUALA LUMPUR 3 Jan. - Tiga lelaki termasuk seorang konstabel polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang pelajar kolej, Disember lepas.

Konstabel Md. Harris Abd. Rashid, Azly Abd. Aziz dan Rozali Ahmad bersama-sama tiga lagi yang masih bebas didakwa merompak sebuah telefon bimbit jenis iPhone 5 milik Farith Rayyen Akop, 19, di sebuah bilik hotel di Jalan Cheras, di sini, pada 12.45 tengah malam 25 Disember lepas.

Md. Harris, 35, dari Ibu Pejabat Polis Serdang; Azly, 33, kontraktor dan Rozali, 30, pekerja di syarikat pembinaan, didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Bache membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Februari untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Read in English: The Star


Kanak-Kanak Pendatang Atasi Bilangan Murid Tempatan di SK Pekan Kinarut

Guru Cedera Diserang Gara-Gara Tegur Pelajar Berambut 'Punk' Pada Hari Pertama Persekolahan

$
0
0
Suspek berumur 17 tahun dibawa ke mahkamah untuk direman kerana menyerang seorang guru di Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis, semalam.

KANGAR 3 Jan. - Polis menahan seorang pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Perlis dekat sini kerana didakwa mencederakan seorang guru lelaki dengan kerambit pada hari pertama persekolahan semalam.

Kejadian dipercayai berlaku selepas pelajar lelaki itu ditegur oleh guru berkenaan kerana menggayakan rambut ala 'punk'.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Supritendan Ismail Che Isa berkata, suspek lelaki berusia 17 tahun itu ditahan pada pukul 1 pagi ini di rumahnya di Kuala Perlis dekat sini.

"Turut dirampas ialah senjata yang digunakan untuk mencederakan guru lelaki tersebut iaitu gunting kecil yang telah diubah suai menjadi kerambit," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut Ismail, pihaknya telah mendapatkan perintah tahanan reman selama seminggu terhadap pelajar berkenaan bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.

"Kita akan berbincang dengan pihak Jabatan Pendidikan negeri dan juga sekolah terbabit supaya dapat melakukan pemeriksaan mengejut bagi memastikan insiden pelajar membawa senjata ke sekolah tidak berulang.

"Kita juga mahu memastikan persekitaran sekolah bebas daripada sebarang kejadian jenayah," ujarnya.

Dalam kejadian pukul 7 pagi semalam, pelajar terbabit dikatakan marah selepas guru berkenaan yang memeriksa pintu masuk sekolah menegurnya kerana menggayakan rambut ala 'punk' dan mewarnakan rambut.

Selepas ditegur, pelajar itu pulang ke rumah dan datang semula ke sekolah dengan ibunya untuk bertemu dengan guru tersebut sehingga berlaku satu pertengkaran.

Pelajar itu dikatakan bertindak menyerang guru berkenaan menggunakan kerambit sehingga mengakibatkan kecederaan di bawah mata kanannya dan terpaksa diberikan rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Perlis.

Utusan 

Guru Sekolah Swasta Miliki 7 Pistol Tiruan Ditahan

$
0
0

KOTA BHARU - Polis semalam menahan seorang guru sekolah swasta bersama tujuh pistol tiruan yang dibelinya dari negara jiran dan dipercayai mahu dijual menerusi laman sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Idris Abd Rafar berkata lelaki berumur 26 tahun itu ditahan di dalam sebuah kenderaan di hadapan sebuah kedai runcit di Jalan Pasir Mas-Salor kira-kira pukul 1.30 petang.

"Kita menemui tujuh buah kotak yang bertulis G.29 AIRSOFT GUN. Setiap satunya mengandungi sepucuk pistol bersama kelopak, yang disembunyikan di dalam bonet kereta," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu di sini hari ini.

Beliau berkata pistol tersebut dibeli dengan harga RM60 setiap satu dan suspek dipercayai mahu menjualnya di laman sosial Facebook.

"Kami mendapati pistol itu dibeli di Sungai Golok, Thailand dan suspek menggunakan orang tengah yang dipercayai warga negara Thailand untuk mendapatkannya pistol tersebut," tambahnya.

Idris berkata suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang jika sabit kesalahan boleh di penjara selama setahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata orang ramai perlu memohon lesen jika ingin memiliki pistol tiruan walaupun sekadar untuk digunakan bagi tujuan sukan seperti permainan paintball. - Bernama, 4 Januari 2014

Info Berkaitan: Utusan

6 Pelajar Sekolah Menengah Tidak Berpuas Hati Tidak Dibenarkan Masuk Kelas Kerana Fesyen Rambut

$
0
0


KUCHING: Enam pelajar sebuah sekolah menengah di Demak terkilan tidak dibenarkan mengikuti sesi persekolahan semalam hanya disebabkan fesyen rambut.

Yang peliknya, pelajar terbabit memberitahu mereka tidak mengalami masalah pada hari pertama sesi persekolahan yang bermula Khamis lalu.

“Semalam (kelmarin) kami semua datang ke sekolah dan masuk ke kelas seperti biasa. Tiada masalah mengenai fesyen rambut kami, tetapi hari ini (semalam) kami tidak dibenarkan masuk ke kelas kerana rambut sebegini,” ujar mereka.

Para pelajar yang masing-masing berusia 15 hingga 17 tahun itu berkata, kesemua mereka diarahkan oleh guru disiplin keluar dari sekolah dan pulang ke rumah.

“Sesi persekolahan baharu sahaja bermula tetapi kami tidak dibenarkan masuk ke kelas masing-masing hanya kerana fesyen rambut.

“Berilah amaran dahulu bukannya bertindak tidak membenarkan kami ke kelas kerana ia boleh menyebabkan kami ketinggalan pelajaran,” kata mereka ketika ditemui di stesen bas di hadapan sekolah itu semalam.

Mereka turut memberitahu, guru terbabit juga tidak seharusnya menghukum mereka terus kerana sesi persekolahan baharu sahaja bermula.

“Kami mencadangkan agar pelajar disediakan panduan etika berpakaian dan fesyen rambut pada hari pendaftaran supaya mereka tidak melanggar peraturan sekolah pada hari pertama persekolahan,” tambah mereka.

Keenam-enam pelajar terbabit terpaksa melepak di luar sekolah meskipun pelajar-pelajar lain sibuk belajar pada hari kedua sesi persekolahan, semalam.

“Kalau kami balik ke rumah pun susah kerana ibu bapa pasti marah kerana tidak ke sekolah,” ujar mereka lagi dengan nada kesal.

Justeru, mereka berharap pihak sekolah memberi amaran terlebih dahulu kepada para pelajar, bukannya mengambil tindakan tidak membenarkan masuk ke kelas pada minggu pertama sesi persekolahan.

“Kami amat tidak berpuas hati. Sekurang-kurangnya pihak sekolah memberi peluang atau amaran kepada kami supaya kami tidak mengulangi kesilapan seperti ini bukannya tindakan tidak membenarkan kami mengikuti kelas,” tegas mereka.

Vacancies at Technology College Sarawak (TCS)

$
0
0

TCS currently has vacancies for the following Lecturer positions:-

A) Accounting / Finance
B) Law (Part-Time)
Requirements:-
  • Master/Postgraduate Degree in relevant discipline with minimum 3.0 CGPA, or equivalent.
  • Teaching experience is desirable.
  • Excellent written and verbal communication skills in English and Bahasa Malaysia.
C) Islamic Studies
Requirements:-
  • Undergraduate Degree in relevant discipline with minimum 3.0 CGPA, or equivalent.
  • Teaching experience is desirable.
  • Excellent written and verbal communication skills in English and Bahasa Malaysia.
If you know of any friends or family members that are interested to apply for the above positions, they may submit their updated CV, certificates and passport photo to the HR Unit or email to hr2@tcs.edu.myon or before 8th January 2014.
Thank you.

Website: http://tcs.edu.my/

Advertise by Nini L. Peter


Temuduga Pengambilan Pelatih Giatmara Bintulu 2014

$
0
0


TEMUDUGA TERBUKA 

Pengambilan pelatih Giatmara Bintulu kini terbuka kepada semua penduduk yang bertaraf Bumiputra. 

Syarat kemasukan : MINAT, BOLEH MEMBACA, MENULIS DAN MENGIRA, 
                                   UMUR 15 TAHUN KEATAS,

KURSUS YANG DITAWARKAN :

TEKNOLOGI BAIKPULIH DAN MENGECAT BADAN KENDERAAN ( BODY WORK )

TEKNOLOGI AUTOMOTIF ( MEKANIK )

UNTUK KETERANGAN LANJUT BOLEH HUBUNGAI DITALIAN : 


Nadzrul Adeng019-8595597 @ 086-201688

Pelajar Tingkatan 3 Hilang Bersama Kekasih Dipercayai Dirogol

$
0
0
LIMBANG: Gara-gara mahu bertemu kekasih, seorang pelajar tingkatan tiga sanggup ‘menghilangkan diri’ selama dua hari untuk bertemu teman lelakinya selepas sambutan ambang tahun baharu di sini.

Difahamkan pelajar berkenaan keluar dari rumah dan tidak balik- balik sekitar jam 1.30 pagi, Rabu lalu untuk bersama teman lelakinya.

Kehilangan pelajar tersebut menyebabkan ayahnya membuat laporan polis jam 8.30 pagi hari berikutnya.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata mangsa dikatakan balik semula ke rumah jam 7.30 malam pada Khamis lalu selepas menghabiskan masa bersama kekasihnya.

Jelas beliau, mangsa juga mengaku mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya selepas disoal berkali-kali oleh ayahnya.

“Ayah mangsa kemudiannya membuat satu lagi laporan polis pada Jumaat, jam 1 pagi, di Balai Polis Limbang.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol memandangkan mangsa masih bawah umur,” katanya.

- UB


Pensyarah IPTA Bunuh Isteri Sebelum Kelar Diri Sendiri

$
0
0

KLANG – Seorang wanita ditemui mati di hadapan pintu bilik sebuah hotel tiga bintang di sini dengan kesan kelar di leher dan beberapa tikaman di anggota badan, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Shukor Sulong ketika dihubungi berkata mayat mangsa yang berumur 49 tahun itu ditemui oleh pekerja hotel berkenaan dengan keadaan berlumuran darah kira-kira pukul 5 pagi.

“Polis yang dimaklumkan kejadian itu bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan, kami turut menemui seorang lelaki dipercayai suspek kes ini berumur 58 tahun yang terbaring di atas katil bilik tidur hotel tersebut dalam keadaan kesakitan akibat cedera di leher.

“Berikutan keadaannya, lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk menerima rawatan lanjut, namun meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital,” katanya.

Wanita itu dikenali sebagai Norazlina Mohamed Saaid.

Katanya, pemeriksaan di bilik itu turut menemui sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Beliau berkata hasil siasatan lanjut pihak polis mendapati kedua-dua mangsa itu merupakan pasangan suami isteri.

“Hasil siasatan menunjukkan berlaku pertengkaran antara mereka sebelum si suami dipercayai bertindak menikam badan dan leher isterinya dengan sebilah pisau sebelum dia bertindak mengelar lehernya sendiri dengan tujuan untuk membunuh diri,” katanya.

Tambahnya, polis sedang berusaha mengenalpasti punca sebenar kejadian ini. 

- mStar

Rumah Sewa Dipecah Masuk Perompak, Pelajar Curtin Sarawak Dibunuh Kejam

$
0
0
MIRI: Kawasan Senadin yang menempatkan beberapa kawasan perumahan dan penempatan termasuk sekolah dan institusi pengajian, perlu memiliki sebuah balai polis bagi meningkatkan tahap keselamatannya.

Menteri Muda Perhubungan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin berkata agenda mengenai pembinaan balai polis di Desa Senadin itu perlu dilihat dan diberi keutamaan oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya pernah mencadangkan kepada Ketua Polis Negara suatu ketika dahulu, supaya dibina sebuah balai polis di Desa Senadin ini.

“Semalam (Sabtu), saya telah mengemukakan semula cadangan tersebut kepada Ketua Polis Daerah (KPD) Miri ACP Mun Kock Keong dan beliau bersetuju dengan saya, bahawa perlu bagi sebuah balai polis dibina di Desa Senadin,” katanya.

Menurut Lee, selain mempunyai populasi yang semakin bertambah, kawasan Desa Senadin juga terletak agak jauh dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.

“Malah di sini juga kita ada sebuah sekolah antarabangsa dan sebuah universiti bertaraf antarabangsa.

“Justeru saya merasakan adalah wajar dan sudah tiba masanya bagi sebuah balai polis dibina di sini bagi meningkatkan lagi tahap dan kawalan keselamatan di kawasan ini,” tambahnya.

Lee memberitahu demikian kepada pemberita di sini semalam, selepas melawat kediaman seorang pelajar Curtin Universiti Kampus Sarawak(Curtin Sarawak) yang dibunuh kejam oleh perompak yang memecah masuk dan merompak rumah sewanya dalam kejadian yang berlaku Sabtu lalu.

Lee yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Curtin Sarawak, memberitahu untuk sementara waktu sebuah pasukan bertindak perlu ditubuhkan terdiri daripada anggota polis, RELA dan Rukun Tetangga (RT) bagi melakukan rondaan dan meningkatkan tahap keselamatan sedia ada.

Pasukan berkenaan kelak akan dibantu oleh Lembaga Keselamatan Curtin.

“Ini kerana perkara paling penting di sini ialah menjejaki dan memburu penjenayah terbabit dan juga memeriksa kawasan di sini, bagi mencari mereka yang bertanggung jawab bukan sahaja dalam kes pembunuhan ini malah dalam kes-kes jenayah lain khususnya membabitkan pecah rumah,” ujarnya.

Pada masa yang sama Lee turut memohon kerjasama penduduk di situ, supaya turut sama memberi maklumat kepada pihak polis termasuk melaporkan kejadian atau kegiatan mencurigakan yang berlaku di kawasan tersebut.

Malah Lee mengakui banyak aduan mengenai kes pecah rumah di Desa Senadin, telah diadukan kepada beliau sama ada ia dilaporkan kepada pihak polis atau sebaliknya.

Oleh yang demikian katanya, dengan adanya balai polis yang baharu kelak, ia akan membantu meningkatkan lagi tahap dan kawalan keselamatan di kawasan tersebut selain memudahkan pihak polis memantau dan menjaganya tanpa perlu datang jauh dari IPD Miri.

Pada masa yang sama beliau menyarankan kepada pemilik rumah dan pihak pemaju supaya membersihkan kawasan sekitar yang berumput tinggi dan bersemak tebal, terutama yang boleh menghalang pemandangan di halaman rumah, demi aspek keselamatan.

Sementara itu, dalam kejadian yang berlaku Sabtu lalu, mangsa yang menyewa rumah tersebut bersama empat lagi rakannya tinggal sendirian manakala rakannya yang lain belum pulang daripada bercuti.

Mangsa yang berusia 20 tahun dan berasal dari Sandakan, Sabah, baharu sahaja tiba di rumah sewa tersebut, dengan beberapa barangan termasuk pakaiannya masih berada di dalam bagasi, ketika perompak masuk ke rumah sewa tersebut dengan memotong bahagian pengunci jeriji di pintu masuk rumah tersebut.

Rumah teres dua tingkat di Desa Senadin itu yang dihuni oleh lima pelajar Curtin termasuk mangsa, telah disewa oleh mereka sejak November tahun lalu. Selain mangsa, dua lagi rakan serumahnya turut berasal dari Sabah manakala seorang dari Bintangor dan seorang lagi dari Johor.

- UB

Info berkaitan: BH

Kursus Latihan Serta Aliran Kerjaya Dalam Industri Minyak & Gas

$
0
0
Kepada pelajar yang berumur antara 17-19 thn, yang tidak dapat melanjutkan pelajaran, kami memberi peluang untuk menyertai Kursus Latihan serta Aliran Kerjaya di dalam Industri Minyak & Gas. Program ini dibiayai sepenuhnya oleh Yayasan Peneraju Bumiputera Berhad. 

Sesiapa berminat untuk memohon biasiswa, hendaklah menyediakan dokumen2(potokopi) seperti berikut: 


1. IC pemohon 
2. Surat beranak pemohon 
3. Akaun bank pemohon 
4. Sijil PMR atau SPM 
5. Surat bhenti sekolah surat akuan sek dan testimonial sek 
6. IC bapa 
7. Surat beranak bapa 
8. IC ibu 
9. Surat beranak ibu 
10. Penyata gaji bapa 
11. Penyata gaji ibu 
12. Sekira ibu bapa tidak bekerja. Dapatkan surat pengesahan pendapatan dr ketua kampung. Perlu utk kdua2 ibu dan bapa. Sekiranya ibu surirumah pengesahan ibu suri rumah. 
13. Sekiranya ibu bapa sudah bercerai - perlu surat cerai 
14. Sekiranya ibu bapa meninggal - perlu surat mati 
15. IC adik beradik dibawah tanggungan ibu bapa. 

Semua dokumen mesti disahkan oleh ketua kampung di kawasan anda. Dan di hantar ke alamat berikut: 

Prestariang Berhad (Talentxchange) 
70-73 Neo cyber Lingkaran Cyber Point Barat 63000 Cyberjaya Selangor. 

Sila hubungi kami di talian 011-2360 6511 Pn.Rahimah atau 019-5771111 Pn Norliza untuk maklumat lanjut mengenai kursus latihan yang di tawarkan. 


Sumber: Haryaty Hamdzah

Remaja Berusia 15 tahun Dirogol Ketika Cuti Sekolah

$
0
0
REMBAU – Hasrat seorang remaja perempuan berusia 15 tahun untuk berkahwin akhirnya berjaya membongkar perbuatan kejinya bersama pasangan kekasih berusia 27 tahun.

Sumber berkata, remaja berkenaan yang mengenali suspek menerusi laman sosial Facebook selama beberapa bulan bertindak tinggal bersama kekasihnya semasa musim cuti sekolah.

Menurut sumber, bapa remaja berkenaan yang curiga dengan hasrat anaknya itu terkejut apabila anaknya memberitahu perkara sebenar.

“Sebelum ini, remaja perempuan berkenaan memberitahu bapanya yang dia tinggal bersama kawan perempuannya sewaktu cuti sekolah lalu.

“Bagaimanapun, dia menceritakan kejadian malang menimpa dirinya apabila telah dirogol kekasihnya yang bekerja sebagai penjual buah lebih 10 kali selama tempoh cuti berkenaan,” katanya.

Susulan insiden itu, ayah mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Nilai pada Ahad lalu dan suspek berjaya ditangkap di Chembong malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

SPPBS, PBS: Cantik Pada Kertas, Tapi...

$
0
0


SHAH ALAM - Isu mengaitkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Pelbagai kelemahan sistem tersebut didedahkan termasuk ia dikatakan menambah beban guru selain menjadikan pelajar seperti ‘tikus makmal’.

Setelah banyak rungutan dibangkitkan, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat keputusan menangguhkan capaian terhadap SPPBS sehingga 31 Disember ini untuk penambahbaikan.

Meskipun begitu, ia tidak dilihat sebagai jalan penyelesaian kerana sistem PBS itu sendiri memberi kesan kepada guru dan pelajar.

Ikuti temu bual Sinar Harian Online dengan Ketua Gerak Kerja Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM), Mohd Nor Izzat Mohd Johari bagi menjelaskan lebih lanjut isu tersebut.

SINAR HARIAN ONLINE : Apa sebenarnya isu berbangkit yang melibatkan SPPBS dan PBS?

NOR IZZAT : PBS ini sudah sampai ke tahap paling kemuncak setelah masuk tahun ketiga ia dilaksanakan. Tahun pertama dan kedua, masalah sama berulang cuma tidak mendapat perhatian kerana kita tahu cikgu-cikgu ini takut untuk bersuara. Jadi, saya dan pasukan saya (SGMM), kami kata mungkin untuk tahun pertama dan kedua itu beri peluang untuk sistem itu dilaksanakan sebab kita tahu sistem ini sistem yang baru tapi apabila tahun ketiga, masalah ini tetap berulang. Ia semakin memuncak apabila kebanyakan guru di sekolah ditekan oleh pentadbir dan pentadbir pula ditekan oleh pihak atasan antaranya Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan JPM untuk menyiapkan proses kemasukan ‘band’ kepada murid dalam sistem online.

Apabila perkara itu berlaku, saya dan pasukan (SGMM) buat keputusan untuk ambil tindakan yang drastik terhadap isu ini supaya semua sedar bahawa sebenarnya ada kepincangan dalam sistem pendidikan yang baru ini.

Sehubungan itu, kami ada buka satu akaun ‘page’ di laman sosial Facebook ‘Kami Mahu SPPBS Dimansuhkan’ pada 30 Oktober lalu. Pada awalnya, guru-guru takut nak ‘like page’ itu kerana kita tahu guru-guru terikat dengan klausa kami yang menurut perintah. Jadi, mereka takut dikenakan tindakan tatatertib. Apabilakita keluarkan fakta, keluarkan perkara yang memang sedang berlaku, akhirnya ramai guru yang sokong malah masyarakat umum juga ada yang sokong.  Setakat hari ini sudah mendapat lebih 52,000 ‘like’. Itu bukan satu kejayaan tetapi satu suara yang menunjukkan bahawa kita guru-guru bukan nak merungut, bukan nak mengadu domba tapi kita nak menyatakan ada sedikit kepincangan yang berlaku dalam sistem pendidikan yang sedang berjalan ini.

Rasanya semua tahu bahawa tidak ada lagi dalam sejarah guru-guru dipanggil untuk membuat satu perbincangan berkaitan dasar pendidikan daripada dulu lagi. Tapi kini, guru-guru mungkin sepatutnya ada yang boleh diketengahkan yang boleh dibawa kepada kementerian untuk berbincang tentang dasar penambahbaikan atau cadangan. Sebelum ini tak ada, jadi, melalui surat rasmi yang saya hantar itu kita minta supaya kementerian menerima kita untuk berbincang untuk mencari jalan penyelesaian, bagaimana kita nak selesaikan masalah SPPBS iaitu sistem online dan PBS itu sendiri. PBS kita ada banyak masalah yang timbul tapi perkara itu guru-guru anggap ia perkara yang masih boleh ditangani lagi tapi apabila sudah sampai tahap maksimum, guru-guru sudah mencuba yang terbaik tetapi masih tak mampu, itu yang kita nak suarakan.

SINAR HARIAN ONLINE : Jadi, apa status surat berkenaan?

NOR IZZAT : Saya dah hantar surat itu melalui e-mel kepada kementerian. Saya mendapat tahu surat itu sudah diterima pihak KPM, cuma tidak ada maklum balas daripada mereka sehingga hari ini. Kami sudah bersedia untuk berjumpa dengan pihak KPM sendiri untuk bincang mengenai isu ini. Isu ini sudah dijawab dalam Parlimen tetapi jawapan yang diberi Timbalan Menteri I dan Timbalan Menteri II tidak menjawab kepada persoalan yang diajukan. Mereka hanya menjelaskan teori pelaksanaan PBS itu sendiri.

SINAR HARIAN ONLINE : Boleh jelaskan SPPBS, PBS secara ringkas?

PBS ini pentaksiran berasaskan sekolah iaitu ia dijalankan di dalam kelas. Pentaksiran ini berlaku apabila selesai Pembelajaran dan Pengajaran (P&P) dalam kelas. Proses belajar dalam kelas itu diakhiri dengan PBS. Maknanya, kita tak ada peperiksaan. Pelajar terus dinilai selepas sesi (P&P) dan diberikan ‘band’ kepada setiap pelajar.

Bagi SPPBS pula adalah sistem yang menyokong PBS itu untuk setiap kali selesai guru mengajar dan mentaksir pelajar, guru akan masukkan markah pelajar secara ‘online’. Berdasarkan pengalaman yang lepas-lepas, mereka berikan tempoh yang tertentu. Contohnya penggal pertama, Januari hingga Mac, kemudian ia ditutup walaupun ada guru yang tak sempat masukkan.

SINAR HARIAN ONLINE : Perbezaan sistem dahulu dengan sekarang?

NOR IZZAT : Sistem PBS ini kita terima sebenarnya. Pada awalnya...sistem ini di atas kertas cantik tapi apabila sampai kepada pelaksanaannya di sekolah-sekolah, ia mengalami banyak masalah dan timbul perkara yang di luar jangkaan kementerian. Saya pun tak pasti sama ada mereka sudah memikirkan masalah itu atau tidak tetapi perkara itu berlaku kerana sistem ini diambil...saya difahamkan daripada Australia kemudian dibawa masuk ke Malaysia dan hanya melalui perbincangan selama lima tahun. Kemudian satu percubaan dilakukan di sekolah-sekolah yang saya dimaklumkan di Melaka tapi sekolah-sekolah itu hanya dijalankan selama beberapa bulan dan tak sempat mendapat hasil, terus dilaksanakan serta-merta pada 1 Januari 2011. Di situ, kita nampak mereka terburu-buru melaksanakan sistem PBS itu sendiri.

Sistem guru yang berorientasikan peperiksaan mungkin ada kelemahan dan sepatutnya pihak kementerian membuat penambahbaikan kepada kelemahan sistem tersebut. Tetapi apa yang berlaku, mereka tukar dasar dan menetapkan satu sistem yang baru. Akhirnya sistem baru itu telah mendatangkan kepincangan dalam sistem pendidikan sendiri.

SGMM ada langkah-langkah yang sepatutnya dilakukan. Kita mahu PBS ini dilaksanakan. Kita ada pelan B pula iaitu jika mahu mansuhkan PBS, apa yang akan digantikan dengan sistem baru. Iaitu tetap dengan sistem peperiksaan tetapi kita ambil seperti di universiti. 70 peratus teori dan 30 peratus praktikal. Itu lebih berkesan tapi perlu dikaji dengan lebih teliti.

Tapi, jika mahu diteruskan dengan sistem PBS itu, kita ada langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah itu. Saya yakin KPM tahu apa langkah-langkahnya. Antaranya, nisbah guru dengan murid dalam kelas. Berdasarkan laman web KPM, nisbah guru dengan murid adalah 1:13 atau 14. Maklumat terkini yang saya dapat daripada rakan-rakan guru, 1 :  40 hingga 55 orang murid setiap kelas. Jadi, ini memang tidak relevan dengan sistem PBS yang diambil. Di Australia, 1 : 12 atau 15 orang.

SINAR HARIAN ONLINE : Sistem itu sedang melalui penambahbaikan seperti yang dimaklumkan KPM ekoran mengalami masalah ‘server’. Mungkin selepas ini sistem itu akan pulih.

NOR IZZAT : Masalah dalam sistem SPPBS pula adalah masalah server. Perkhidmatan yang disediakan itu tidak sekata dengan bajet yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia untuk sistem pendidikan yang baru ini. Jadi, mereka nak upgrade dan akan buka semula sampai awal tahun depan. Kita tak tahu sejauh mana mereka mahu jalankan penambahbaikan itu. Tahun pertama sistem ini dilaksanakan, pernah juga kementerian kata nak tambahbaik sistem tapi 2013 tetap berlaku perkara yang sama. Jadi, kita tak pasti sama ada sistem itu ditambah baik secara maksimum atau penambahbaikan itu secara perlahan-lahan.

Masih ramai guru-guru yang tidak dapat memasukkan markah pelajar bukan sahaja itu, termasuk juga sistem-sistem lain yang melibatkan server yang sama.

Jadi, saya tak tahu sejauh mana penambahbaikan itu berlaku, tapi saya yakin masalah ini akan berulang kerana nisbah yang akan berlaku dalam proses kemasukan band itu sendiri akan menyebabkan berjuta kalau tak silap saya kerana ada nisbah iaitu 1 guru 40 pelajar kali dengan beberapa kelas lagi yang diajar mungkin minimum tujuh kelas. Jadi, di situ tujuh kelas didarabkan dengan berapa orang guru dalam satu sekolah kemudian darab dengan berapa sekolah dalam Malaysia. Penggunanya tetap ramai dan akan bertambah lagi tahun depan tapi proses untuk kemasukan sistem itu tetap dan mungkin akan menjadi masalah lagi. Saya yakin, kalau jadi masalah, itu yang kami akan bersuara lebih lantang. Kita nak buktikan bahawa memang server itu ditambah baik tetapi tidak ada penyelesaian.

SINAR HARIAN ONLINE : Kesan kepada pelajar?

NOR IZZAT : Dulu kita tengok pelajar-pelajar kita lebih menjurus kepada peperiksaan semata-mata dan mereka hanya memberi tumpuan kepada peperiksaan. Hasilnya, ada pelajar yang cemerlang tapi tidak cemerlang daripada segi insaniah. Saya nampak kementerian mahu penambahbaikan kepada...sepatutnya kepada sistem peperiksaan itu tetapi ia telah tukar sistem kepada PBS yang menyebabkan pelajar-pelajar menjadi pasif, tidak berminat untuk mengulang kaji di rumah. Di sekolah akan selesai semuanya di sekolah sahaja dan apabila balik ke rumah, tiada kerja rumah.

Jika ada kerja rumah yang diberi oleh guru yang berkaitan dengan PBS, ia salah sama sekali dengan sistem yang sedia ada. PBS memang tiada kerja rumah, ia hanya perlu dilaksanakan terus dalam kelas antara guru dengan murid. Murid-murid rasa seronok sebab hari ini belajar, hari ini habis kemudian esok lupa dah apa yang diajar. Ibu bapa dah tak tahu bagaimana nak nilai anak mereka. sebab dulu ada dapat nombor satu, dua, tiga tapi sekarang keluar band. Walaupun pelajar itu pandai, kurang pandai atau sederhana, levelnya sama. Guru terpaksa ajar berulang-ulang supaya sampai sama level dengan budak yang pandai.

Sampaikan ada sesetengah guru yang terpaksa menipu. Saya nak tegaskan, terpaksa. Kerana nak tunggu seorang pelajar itu lulus, ia makan masa menyebabkan memberi kesan kepada silibus tahunan yang perlu dihabiskan.

Itu yang menyebabkan murid menjadi malas kerana dia tahu kalau dia tak jawab sekalipun, guru tetap beri ‘band’...terpaksa beri ‘band’ kerana jika guru tak beri ‘band’ ia akan dipersoal oleh pihak pentadbir.

Pihak kementerian, JPM dan PPD telah mengeluarkan nama-nama guru yang gagal menyiapkan SPPBS padahal sistem itu ditangguhkan. Apabila nama itu keluar, ia memainkan peranan kerana mengganggu emosi guru-guru.

SINAR HARIAN ONLINE : Ibu bapa sendiri tak faham dengan sistem sekarang?

NOR IZZAT : Memang itu saya berani cakap merupakan satu kelemahan daripada KPM kerana mereka dah hantar...mereka ada jurulatih utama kebangsaan (JUK). Mereka yang akan menerangkan kepada guru-guru dan ibu bapa.  Maklumat yang disampaikan itu tidak sampai kerana melibatkan manusia. Apabila dia cakap ABC, yang sampai ke negeri hanya AB sahaja dan sampai ke sekolah ia jadi ABD pula.

Pihak sekolah memang mengadakan hari terbuka untuk menerangkan PBS kepada ibu bapa tapi kita sedia maklum, kekangan apabila ada ibu bapa yang tidak ada masa untuk datang ke sekolah. Tapi apabila timbul masalah seperti sekarang ini, baru mereka mahu bersuara. Itu sebenarnya satu kesan positif kerana ibu bapa ambil berat dan bertanya kepada guru-guru.

SINAR HARIAN ONLINE : Harapan untuk pihak kementerian?

NOR IZZAT : Harapan besarnya, kami dalam SGMM ini sudah bersedia. Kami harapkan KPM panggil untuk berbincang secara terperinci sebelum bertemu dengan PBSMR yang menggantikan PMR. Kita tak mahu apabila PBSMR itu dilaksanakan, ia akan menyebabkan pelajar-pelajar berdepan masalah untuk melanjutkan pelajaran pada masa akan datang. Itu yang pertama.

Kedua, kami berharap ibu bapa turut bersuara dan ambil berat tentang masalah yang dihadapi oleh pendidikan.

Ketiga, kami minta sangat-sangat supaya Menteri dan timbalannya cakna dengan masalah ini bukan sekadar masalah PBS atau SPPBS tetapi masalah tentang sistem-sistem yang diperkenalkan. Ada 64 senarai sistem-sistem yang akan diperkenalkan pada tahun depan. Jadi, kita minta ia ditambah baik sebelum masalah timbul tahun depan.

Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM) Mohon Semua Kesatuan Guru Bersatu Hadapi Masalah Guru

$
0
0
SHAH ALAM - Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM) memohon agar semua kesatuan berkaitan guru di Malaysia bersatu bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi para guru.

Menurut Ketua Gerak Kerjanya, Mohd Nor Izzat Mohd Johari, sehingga kini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih belum memutuskan soal peperiksaan bagi Tingkatan 3.

"Saya memohon agar semua kesatuan-kesatuan guru di Malaysia untuk bersatu menyelesaikan kemelut masalah yang dihadapi oleh guru.

"Kebiasaannya, guru boleh merancang untuk pelajar Tingkatan 3 kerana ada peperiksaan akan tetapi, sehingga kini, KPM sendiri belum memutuskan lagi samada ada peperiksaaan berpusat atau tidak," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas kembali kenyataan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Mohd Nor Izzat menyifatkan ia sudah terlambat.

"Beliau menggambarkan masalah ini selesai pada April 2014 tetapi tempoh itu adalah satu tempoh yang sudah terlambat.

"Tempoh hari, KPM kata ada PMR dan peperiksaan semua matapelajaran PMR biasa tetapi apabila di semak dalam takwim peperiksaan terkini, tiada apa-apa peperiksaan untuk Tingkatan 3," katanya.

Beliau berharap agar KPM tidak mengubah sesuatu berkaitan pendidikan di saat akhir.

"Saya harap KPM jangan mengubah sesuatu berkaitan pendidikan di saat akhir. Membabitkan masa depan murid dan tugas guru," katanya.


Sumber: Sinar Harian, 25 Disember 2013

Lelaki Menyamar Diri Sebagai Polis Rompak Pelajar Asing Maut Dibelasah

$
0
0
KUALA LUMPUR - Seorang pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dipercayai cuba menyamun dua pelajar Nigeria di Taman Pusat Kepong, Sentul semalam maut akibat dibelasah.
    
Sazali Mokhtar, 52, meninggal kira-kira 5 pagi tadi ketika dirawat di Hospital Selayang.
    
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata kejadian berlaku kira-kira 9.30 malam ketika mangsa dan dua rakannya  memecah masuk rumah yang didiami pelajar itu sebelum mengambil wang tunai berjumlah RM5,000.
    
"Ketiga-tiga suspek yang berusia antara 42 dan 52 tahun memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis dan mendakwa kedua-dua pelajar itu telah melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen, sebelum memecah masuk rumah tersebut.
    
“Dua pelajar berkenaan yang sempat menghubungi tujuh rakan mereka kemudiannya menangkap ketiga-tiga suspek," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
    
Khairi berkata sebelum itu berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa yang menyebabkan salah seorang suspek cedera manakala salah seorang mangsa juga cedera akibat senjata kuku kambing yang digunakan suspek.
    
"Pada mulanya polis menganggap orang awam telah melakukan tangkapan bagi membantu pihak polis. Tetapi apabila terdapat kematian, kita anggap telah berlaku perlakuan jenayah yang berlebih-lebihan semasa tangkapan dilakukan.
    
"Kerana itu kita turut siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
    
Beliau berkata polis merampas sebatang besi kuku kambing yang telah digunakan suspek untuk memecah masuk rumah mangsa, gari, pemotong besi dan vest polis.
    
Dua suspek yang bekerja sebagai penarik kereta dan bekas anggota DBKL kini ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya.
    
Dalam kes lain, seorang warga Myanmar maut manakala seorang lagi rakannya berjaya menyelamatkan diri selepas sebuah rumah kongsi jenis kontena yang didiami mereka hangus dalam kebakaran di Lorong Tiong Nam, Jalan Raja Laut awal pagi tadi.
    
Khairi berkata hasil siasatan mendapati kejadian itu mempunyai unsur khianat berdasarkan beberapa bahan bukti yang ditemui berhampiran lokasi kejadian.
    
“Kita siasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana percaya ada perbuatan khianat dan ada bahan bukti bahawa kebakaran ini disengajakan dengan niat untuk membunuh dan tangkapan akan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya.
    
Kedua-dua mangsa yang berusia 28 tahun bekerja sebagai penjaga parkir.
    
Punca kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan perebutan kawasan penjagaan parkir, katanya. - Bernama

Gaji Baru Guru Miliki Kelulusan Sarjana & PhD Berkuat Kuasa 1 Januari 2014

$
0
0

PUTRAJAYA 9 Jan. - Guru-guru baharu yang mempunyai kelulusan sarjana dan doktor falsafah (Ph.D) akan menikmati gaji permulaan lebih tinggi bagi gred DG41 iaitu tambahan RM715 dan RM1,022 berbanding guru berkelulusan ijazah sarjana muda.

Sistem gaji baharu itu berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu dan telah dimaklumkan menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 40/2013 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (gambar) bertarikh 16 Disember lalu.

Menurut pekeliling tersebut, guru-guru berkelulusan ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan serta Diploma Pendidikan menerima gaji permulaan mereka pada gred DG41 iaitu RM2,018.52.

Namun, guru yang berkelulusan sarjana serta Diploma Pendidikan, gaji permulaan pada gred DG41 adalah RM2,733.98 iaitu pertambahan sebanyak RM715.

Bagi guru yang mempunyai kelulusan Ph.D serta Diploma Pendidikan pula gaji permulaannya pada gred DG 41 pula sebanyak RM3,040.60.

Bagaimanapun, menurut pekeliling itu, bagi guru-guru berkelulusan ijazah sarjana muda (kepujian) dalam bidang pendidikan atau ijazah sarjana muda (kepujian) dalam bidang berkaitan serta Diploma Pendidikan, gaji permulaan pada gred DG41 yang ditawarkan ialah RM2,222.94.

Jawatan Kosong Bahagian Buku Teks, KPM

$
0
0

Permohonan adalah dipelawa daripada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah yang berkelayakan untuk mengisi jawatan di Bahagian Buku Teks, Kementerian Pendidikan Malaysia.
  • Penolong Pengarah (Penerbitan)
  • Penolong Pengarah (Skim Pinjaman Buku Teks)
  • Penolong Pengarah (Dasar dan Perolehan)
  • Penolong Pengarah (Teknikal Penerbitan)
  • Penolong Pengarah (Penyelidikan)
SYARAT KELAYAKAN UMUM

Calon bagi lantikan hendaklah memiliki kelayakan seperti berikut :
  • Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41/DG44(KUP) yang sedang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia
  • Telah disahkan dalam perkhidmatan
  • Bebas dari tindakan tatatertib atau tindakan mahkamah
  • Mempunyai markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) yang baik untuk tiga (3) tahun terakhir
  • Mahir menggunakan perisian Microsoft Office (Word, Excel, Powerpoint)

Tarikh tutup permohonan ialah pada 27 Januari 2014.

Semua permohonan hendaklah dihantar kepada : 
PENGARAH 
BAHAGIAN BUKU TEKS 
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA 
ARAS 1-3, BLOK E15, 
KOMPLEKS KERAJAAN PARCEL E 
62604 PUTRAJAYA 
CATATAN: 
Hanya calon-calon yang layak selepas tapisan sahaja akan dipanggil temuduga. Calon-calon 
yang tidak menerima jawapan selepas tiga (3) bulan dari tarikh tutup permohonan hendaklah 
menganggap permohonan mereka tidak berjaya. Segala perbelanjaan berkaitan temuduga 
iaitu kos penginapan, pengangkutan, makan dan minum adalah di bawah tanggungan sendiri. 

Sekolah Tunas Bakti Kuching, Institusi Kanak-Kanak Pertama Diiktiraf Pusat Bertauliah SKM

$
0
0

KUCHING: Sekolah Tunas Bakti (STB) Kuching merupakan institusi kanak-kanak pertama di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia yang diiktiraf sebagai pusat bertauliah bagi menjalankan latihan kemahiran berasaskan Sijil Kemahiran Malaysia.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang berbangga dengan pencapaian itu berkata, STB Kuching akan dijadikan sebagai model kepada institusi-institusi kanak-kanak lain di bawah JKM Malaysia.

“Sekolah Tunas Bakti Kuching merupakan institusi pertama diiktiraf sebagai pusat bertauliah, yakni pelatih-pelatih di sini telah diiktiraf melalui kursus-kursus tertentu untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia.

“Maknanya, apabila mereka keluar dari pusat ini kelak, selain kita memulih akhlak, mereka juga akan menjadi graduan dan dibekalkan dengan Sijil Kemahiran Tahap Satu yang membolehkan mereka mendapat pekerjaan yang baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan dan taklimat bersama pengurusan STB Kuching yang terletak di Kilometer 2, Jalan Datuk Mohamed Musa, Kota Samarahan dekat sini semalam.

Melihat kepada pencapaian membanggakan oleh STB Kuching, Rohani berkata kementerian akan menambah lima lagi institusi kanak-kanak di bawah JKM Malaysia untuk dijadikan sebagai pusat bertauliah bagi menjalankan latihan berasaskan kemahiran.

Lima institusi tersebut ialah STB Kota Kinabalu dalam bidang jahitan, STB Taiping (bakeri), STB Marang (bakeri dan jahitan), STB Sungai Lereh (jahitan) dan STB Telok Air Tawar dalam bidang kimpalan.

STB Kuching yang berjaya melahirkan 27 pelatih tahun ini pula menawarkan latihan kemahiran dalam tiga bidang iaitu binaan bangunan berasaskan kayu, pertanian dan elektrik dengan lima daripada-nya telah diambil bekerja.

“Sasaran kami ialah setiap peng-ambilan daripada enam STB ini nanti boleh mengeluarkan 150 pekerja mahir dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 anak-anak di bawah 18 tahun yang menghuni di semua STB di bawah JKM Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, selaras dengan konsep mengarusperdanakan bidang kemahiran, JKM telah menyusun perancangan dan pelaksanaan bidang kemahiran bagi mewujudkan pusat bertauliah di institusi-institusi kebajikan kanak-kanak.

Hasilnya, pelbagai rancangan telah disusun mengikut standard kecekapan kemahiran bagi memastikan cita-cita jabatan dapat dilaksanakan dengan baik sekali gus memberi manfaat kepada hampir 3,000 kanak-kanak di institusi-institusi kebajikan seluruh negara.

Bagi memastikan cita-cita ini tercapai, jelasnya lagi, institusi hendaklah mematuhi syarat-syarat dan peraturan pertauliahan sebagaimana dinyatakan dalam Panduan dan Peraturan-Peraturan Pentauliahan Persijilan Kemahiran Malaysia.

Mengulas mengenai lawatan tersebut, ia merupakan siri lawatan beliau ke institusi persekutuan yang ada di sini bermula dengan Rumah Kanak-Kanak Batu 12, diikuti dengan STB Kuching dan seterusnya ke Taman Sri Puteri, Telaga Air.

Selain mendapatkan maklumat terperinci mengenai perjalanan institusi-institusi tersebut, lawatan itu juga bertujuan untuk memahami dan berbincang dengan ahli lembaga pelawat serta pengurusan institusi.

Dalam pada itu, satu konvensyen untuk ahli-ahli lembaga pelawat di seluruh Malaysia akan diadakan pada bulan Mei depan, justeru Rohani menyarankan semua ahli bersedia dengan cadangan yang baik untuk kumpulan sasaran.

- Utusan Borneo

English: The Borneo Post

Guru Tumbuk Timbalan Menteri Pendidikan Gara-Gara Urusan Pertukaran Sekolah

$
0
0

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan membuat laporan polis selepas mendakwa beliau ditumbuk oleh seorang lelaki di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor itu di Bandar Bukit Beruntung, Rawang, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, Kamalanathan membuat laporan itu di Balai Polis Bukit Beruntung selepas mengalami kecederaan di bahagian leher dalam kejadian pukul 2.30 petang itu.

"Selepas menerima rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Kubu Baharu, Kamalanathan seterusnya telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor untuk rakaman percakapan,” kata Mohd Shukri hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan polis sedang mencari suspek tersebut.

Menurut laporan polis itu, sebelum kejadian, bapa suspek berkenaan dikatakan menemui Kamalanathan di pejabat itu untuk meminta bantuan timbalan menteri itu bagi urusan memindahkan menantunya yang bertugas sebagai guru di Johor ke Hulu Selangor. - Bernama

Guru Mualaf SJKC Diarah Buka Tudung Jika Mahu Mengajar

$
0
0
KOTA TINGGI 12 Jan. - Penduduk Kampung Teluk Sengat, dekat sini yang marah menggantung beberapa kain rentang dan menampal puluhan poster bagi mencemuh tindakan seorang ahli jemaah pengurus sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang didakwa meminta seorang guru Cina Muslim membuka tudung.


Wanita itu turut diancam keselamatannya jika enggan berbuat demikian.

Utusan Malaysia difahamkan, ahli jemaah pengurus sekolah yang dikenali sebagai Pang berusia dalam lingkungan 60-an itu telah menyuruh guru mualaf berusia 25 tahun supaya membuka tudung selain mengancam keselamatannya sekiranya enggan berbuat demikian.

Berikutan ugutan itu, guru tersebut membuat laporan di Balai Polis Teluk Sengat dan berdasarkan maklumat terbaru, guru berkenaan ditukarkan serta-merta ke sebuah sekolah di bandar ini.

Sementara itu, Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Teluk Sengat, Abd. Zani Shariff kesal dengan tindakan pihak berkenaan yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati antara penganut agama, khususnya umat Islam.

"Walaupun saya rasa tercabar dengan tindak-tanduk lelaki tersebut memainkan isu agama sehingga menimbulkan rasa marah umat Islam di sini, namun saya berharap pihak berkenaan dapat membendung isu panas ini daripada berpanjangan yang boleh mencetuskan isu perkauman," katanya yang ditemui di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Asiah Md. Ariff berkata, dia telah mendapatkan maklumat ketua kampung yang meminta supaya perkara itu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat.

"Harapan saya supaya keadaan di kampung ini berjalan seperti biasa dan mungkin ada sedikit kawalan yang perlu dibuat supaya tidak menimbulkan perkara yang tidak diingini.

"Jadi, saya harap pihak berkuasa akan segera mengambil tindakan seterusnya melakukan siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) mengesahkan menerima laporan yang dibuat oleh seorang penduduk tentang perkara berkenaan.

- Utusan Malaysia
Viewing all 517 articles
Browse latest View live